Khamis, September 11, 2008

Ahmad Ismail penyokong Anwar atau Pak Lah?

Ganesh Sahathevan, bekas wartawan The Sun yang dipecat pada 1999 ekoran laporan pendedahan Litrak, telah menghimpun beberapa laporan akhbar yang menunjukkan keraguan mengenai siapa yang disokong oleh Ahmad Ismail- Anwar Ibrahim atau Abdullah Ahmad Badawi:

1) 9 September 1998, The New Straits Times (All 11 Youth divisions in Penang back Dr Mahathir) melaporkan Umno Bahagian Bukit Bendera telah mengadakan mesyuarat khas pada 8 September dan keputusannya, mereka mahukan Anwar diberi keadilan bagi membela diri. Mereka menyokong Dr Mahathir, dalam masa yang sama turut menyokong Anwar (yang menurutnya), pemimpin yang sukar diganti.

2) 15 September 1998, The Sun melalui Toh An Nee (Anwar's wife thanks gathering for support) melaporkan Ahmad Ismail dan Umno Bahagian Bukit Bendera menyokong penuh Anwar (yang baru dipecat dari kabinet). Ahmad Ismail membuat kenyataan itu ketika berucap di kediaman Anwar, bersama penyokong-penyokong bekas TPM itu.

3) 14 September 1998, The Asian Wall Street Journal melalui Chen May Yee (Malay Crowds Flock to Anwar In Heartland) melaporkan 8,000 penyokong Anwar berhimpun di kediaman bapa Anwar di Cherok Tok Kun - antara yang berucap ialah Ahmad Ismail. Katanya (atas kapasiti Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera), "Kami sokong Dr Mahathir, tetapi kadang-kadang dia buat silap".

4) 14 September 1998,The Sun (Meeting on expulsion was proper - Penang Umno) melaporkan mesyuarat yang diadakan oleh Umno Pulau Pinang, bagi menyokong keputusan Majlis Tertinggi Umno memecat Anwar diadakan dengan tatacara yang betul. Ahmad Ismail sebelum itu mendakwa, mesyuarat tersebut tidak dijalankan dengan betul. Katanya, sebarang keputusan mesyuarat adalah tidak sah dan tidak boleh dipakai.

5) Ganesh tidak menyatakan sumber laporan untuk ini (Ahmad melalui Metroworks Construction Sdn Bhd diberi projek membina Lingkaran Luar Pulau Pinang atau PORR):
The hottest topic at the Umno General Assembly yesterday was the posting of a list of recipients of special shares and Finance Ministry projects allocated during Datuk Seri Anwar Ibrahim's tenure as Finance Minister.

Highway and outer ring-road in Penang to Metroworks Construction Sdn
Bhd. Major shareholders: Datuk Ahmad Ismail, Datuk Annuar Othman and Datuk Ahmad Fuad Mohd Ali
(i)

Selain laporan yang menunjukkan sokongan Ahmad Ismail terhadap Anwar, isu 'bankrap' yang dituduh ke atas beliau juga wajar dilihat semula bagi mengaitkannya dengan 'kemarahan' beliau pada Pemangku Presiden Gerakan, Dr Koh Tsu Koon. Ahmad Ismail pada 23 Mei 2006 digesa meletakkan jawatan dalam Umno dan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
"I don't know why a small fry like me has been given such widespread publicity.
"I was declared a bankrupt because of a technicality and I have sorted it out.
"All this could have been avoided if the Chief Minister (Dr Koh) had checked his facts first," he said.
Defiant Ahmad refuses to quit
26 May 2006
New Straits Times
(Ada ringkasan mengenai Ahmad Ismail, boleh dibaca di Man of Controversy, The Sun.)

(ii)

Jadi kita tertanya-tanyalah, apakah motif sebenar Ahmad Ismail?

1. Beliau benar-benar seorang nasionalis Melayu kah? Sebab kenyataan beliau keras berlatarkan Ketuanan Melayu.

2. Adakah beliau dijadikan senjata untuk mengembalikan 'kekuatan' Abdullah - khususnya dalam soal perkauman. Pertama, usaha memulihkan sokongan terhadap MCA dan Gerakan. Kedua, memulihkan sokongan parti-parti komponen terhadap BN - kedua-duanya mungkin kalau dinilai dari segi hukuman gantung 3 tahun.

3. Atau mungkinkah tindakan Ahmad Ismail sebenarnya ada kaitan dengan rancangan Anwar? Sebab tindakan agresifnya - seperti mengoyakkan gambar Dr Koh - menyebabkan BN yang sedang dilanda krisis sokongan (terutamanya kaum bukan Melayu) - menyebabkan orang makin hilang percaya pada BN.

Kita tidak pasti. Tetapi apa yang pasti, kita mahukan tanah air kita aman dan sentosa.

*Analisis Ganesh saya temui dari blog Rocky Bru.

Selasa, September 09, 2008

Transisi 16 September tidak jadi?

Laporan terbaru yang dikeluarkan oleh Agendadaily menunjukkan bahawa 16 September ini - Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kerajaan - tidak akan berlaku.
Parti Keadilan Rakyat sudah ubah tarikh nak ambil alih kuasa ‘ menerusi pintu belakang ‘ dari 16 September yang digembar gemburkan selama ini.Kini tarikhnya mungkin dua tiga hari lepas 16 September pula.

Perubahan tarikh itu diumumkan oleh Timbalan Presiden PKR Dr Syed Hussein Ali kepada para wartawan selepas satu majlis di Kuala Lumpur Isnin.

Juga seperti yang diduga alasannya ialah pemergian 49 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk lawatan sambil belajar selama lapan hari ke Taiwan.

“Ia tidak akan berlaku pada 16 September. Harinya mungkin 17 campur satu atau dua atau tiga tapi tidak lewat dari itu,”katanya.

Syed Hussein dakwa ada dikalangan 49 orang Ahli Parlimen yang sertai rombongan itu sudah bagi komitmen nak melompat.

Katanya ketiadaan mereka di dalam negara menyulitkan perlaksanaan pelan 16 September mereka.
(Barangkali orang akan marah dengan media ini sebab semua orang tahu Agendadaily prokerajaan. Tetapi, siapa pula yang berani menyangkal kesahihan laporannya? Dari segi undang-undang, setakat ini belum ada lagi. Ketua Pemuda PAS Pahang, Suhaimi Md Saad dalam satu laporan di Harakahdaily, juga tidak membidas dari segi kesahihannya, tetapi mengkritik analisisnya)

(i)

Dua MP Kelantan akan lompat ke Umno?

Yang ini juga satu laporan mengejutkan. Kita tidak tahu ia benar atau tidak. Penerbit Mingguan Wasilah, Ramli Abdul Halim dalam blognya Kapak Jangak mendedahkan terdapat dua MP Kelantan yang akan lompat ke parti Umno.
"Sulit bagi orang lain tetapi tidak lagi sulit bagi saya. Dua ahli parlimen akan sertai Umno dan perisytiharan penyertaan mereka akan dibuat pada 1 Oktober nanti" itu panggilan telefon yang saya terima.

Pemanggil berkenaan memberikan nama dan biodata penuh kedua-dua ahli parlimen itu dengan seorang daripadanya adalah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bagaimanapun saya tidak akan menyiarkan nama mereka berdua buat masa ini.

Faktor yang mendorong kedua-duanya memilih menyertai Umno adalah bagi memastikan kedudukan kerajaan Umno/BN di pusat terus kukuh dan sekaligus untuk menidakkan dakwaan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan yang ada akan bertukar tangan kepda PKR dan beliau yang akan jadi perdana menteri.
(iii)

Nah. Kedengarannya sangat lucu - MP membuat lawatan sambil belajar. Ini rekod lawatan secara berkumpulan terbesar, dengan jumlah seramai 49 MP selama lapan hari.

1. Ia bukanlah menjadi satu kesalahan, sekali pun dengan tujuan untuk menggagalkan rancangan 16 September. Masakan BN mahu berdiam diri membiarkan serangan dikenakan ke atasnya.

2. Sedang sibuk-sibuk kita didendangkan kisah MP Sabah dan Sarawak akan lompat parti - ada atau tidak kebarangkalian MP dari Semenanjung yang sebenarnya akan lompat parti? Kita sedia maklum, hal perkauman mula dibangkitkan sehingga ada usaha di kalangan MCA dan Gerakan menilai semula kedudukan mereka dalam BN.

Jika dicampurkan jumlah kerusi Parlimen kedua-dua parti itu, semuanya ada 17 kerusi. Ia bukan jumlah yang sedikit. Bagaimana pula jika ada di kalangan mereka yang melompat, ditambah sejumlah MP Sabah dan Sarawak - tidakkah ia akan menguji kesetiaan MP dari parti Umno?

3. 16 September cuma isu maruah Anwar Ibrahim (dan Pakatan Rakyat) - sebab beliau yang mencanangkan usaha ini. Tetapi persoalan pokoknya bukanlah tarikh ini, tetapi transisi kerajaan! Anwar akan malu sekejap kalau gagal pada tarikh tersebut. Selepas itu, beliau akan dibantu propaganda Pakatan Rakyat dan kepercayaan penuh penyokongnya - maka 16 September jadi atau tidak, hanyalah hal yang mungkin sepintas lalu.

Isunya ialah tempoh selepas 16 September yang gagal- tidak mungkin Anwar akan berdiam diri. BN perlu bersedia untuk itu. Dalam satu tempoh, isu kegagalan 16 September akan menyebelahi BN, tetapi apabila isu ini sudah perlahan dan mungkin jadi klise - bagaimana pula?

Jumaat, September 05, 2008

Ramlang, lompat parti & liwat: Saya sudah pening!

Kita yang muda-muda ini memanglah baru mengenali alam politik. Dan, pastilah kita dihumban dengan pelbagai persoalan dan keraguan - biasanya mencari manakah yang sahih.

Dan yang bersikap skeptik, lebih pening kepala melihat permainan politik yang sedang berlangsung dalam lingkungan kita. Sekejap kata itu, sekejap pula kata ini. Orang itu kata lain, orang ini kata lain.

Ada beberapa peristiwa dan laporan mutakhir yang kalau dilihat, cukup memeningkan.

(i)

Imam Masjid Wilayah yang kontroversi, Ramlang Porigi dilaporkan telah memfitnah Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Prof. Madya Khairil Annas Jusoh yang didakwa telah menjadi orang tengah dalam menguruskan sumpah Saiful Bahri (isu liwat yang membabitkan Anwar Ibrahim).

Prof Madya Khairil Anas menuntut Ramlang dan dua lagi akhbar pembangkang - Siasah dan Suara Keadilan - agar meminta maaf sebab membuat kenyataan yang tidak benar mengenai beliau.

Di bawah merupakan petikan temuramah Ramlang dengan Suara Keadilan Online berhubung tuduhan terbabit:

SK: Apa yang mendorong Ustaz mengatakan semasa sidang akhbar bahawa Ustaz merasakan apa yang dilakukan oleh Saiful adalah perancangan satu konspirasi?

RP: Saya ingin jelaskan ada seorang yang saya kenal, dialah yang mengatur sumpah Saiful. Yang saya pasti gambarnya dipaparkan didalam internet dimana beliau bergambar bersama Saiful Bukhari di hadapan pejabat Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak. Saya rasa jawatannya adalah Pegawai Khas kepada Najib.

Sekarang, kita lihat kontradiksinya dengan membaca laporan berikut:

Ramlang diminta mohon maaf vs Pegawai khas Najib atur sumpah Saiful.

Kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang sering bercakap tentang hal ketelusan, keterbukaan dan integriti. Tetapi nilai-nilainya dalam media, mungkin kita boleh ragui, atau menafikannya.

Sebab kita tidak tahu mana yang berpaksikan kebenaran - kedua-duanya pastilah bertumpukan populariti!

(ii)

28 Ogos lalu, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menganjurkan majlis menandatangani surat jaminan taat setia di kalangan Ahli-ahli Parlimen BN di Sabah dan Sarawak.

Yang menimbulkan sedikit kontroversi ialah apabila beberapa MP seperti Datuk Anifah Aman, Datuk Abdul Ghapur Salleh, Datuk Eric Majimbun dan Datuk Dr Chua Soon Bui dilaporkan tidak menandatangani surat jaminan tersebut.

Terdapat percanggahan pada kenyataan yang diberikan oleh dua menteri berhubung hal tersebut:
1. Mengenai Ahli Parlimen Sabah yang tidak menandatangani surat jaminan taat setia itu, Mohd. Shafie menjelaskan, perkara tersebut tidak menjadi isu kerana ketika itu ada Ahli Parlimen yang berada di luar negara dan di kawasan Parlimen masing-masing.
(Kumpul tandatangan tiada kaitan tanding naib presiden - Mohd Shafie)

2. Mereka berpendapat langkah itu sebagai bentuk penghinaan seolah-olah tidak setia kepada parti dan mudah berpaling tadah. Muhyiddin berkata, menandatangani surat jaminan taat setia itu adalah keputusan peribadi yang perlu dibuat secara sukarela.
(Ikrar taat setia sudah memadai - Muhyiddin)
Nah, sama ada saya tersalah tafsir atau tidak, pastinya kita sangsi bila ada dua jawapan yang berbeza. Shafie kata, mereka tiada di lokasi majlis. Muhyiddin kata, mereka menganggap ia sebagai penghinaan.

Yang kita pula ada satu kegemaran, iaitu "suka membaca laporan media menggunakan mata ketiga yang mencari-cari ayat tersirat, yang tidak tertulis" - saya tidak ingat dari mana kata-kata ini, tetapi inilah yang berlaku.

Ertinya, kita gemar mencari tafsiran yang lebih tersirat, inti kebenarannya. Maka berdasarkan percanggahan ringkas di atas, tafsiran pintasnya, adakah ia cenderung membawa maksud bahawa sudah ada yang bersedia keluar parti?

(iii)

Dr Mohamed Osman Abdul Hamid, doktor kontroversi dari Pusrawi muncul semalam dan mempertahankan laporan perubatan yang dibuat ke atas Saiful serta akuan bersumpahnya, Saiful tidak diliwat.

Yang ini lebih memeningkan!

Jika kita tidak percaya pada pemeriksaan Dr Osman, pasti kita akan tertanya-tanya:

30 Julai lalu, Pengarah Perubatan Hospital Pusrawi, Dr Kamaruddin Ahmad membuat kenyataan, Dr Osman hanya seorang doktor biasa serta tidak pernah pun menjalankan pemeriksaan liwat ke atas Saiful. Bagaimana seorang yang bukan pakar dan tidak membuat pemeriksaan khusus, boleh terus membuat rumusan bahawa Saiful tidak diliwat?

Manakala itu, jika kita percaya pada pemeriksaan Dr Osman, kita yang tidak pandai undang-undang ini akan bertanya untuk selanjutnya:

Kalau pemeriksaan sudah mengesahkan tiada kejadian liwat, maka perbicaraan kes ini nanti bagaimana? Saiful pula yang akan mendengar pertuduhan ke atas beliaukah (dan bukan Anwar)? Yalah, 'forensik' kata tiada kesan liwat, jadi perbicaraan nanti menyebelahi terus pada Anwarkah?

(iv)

Saya yakin, kekeliruan ini semua angkara perang politik (yang medannya di media). Jika kita tidak menggunakan 'mata ketiga' pastilah kita senang-senang terpedaya. Bila menggunakannya, kita pula pening kepala - lagi-lagi bila mahu cuba-cuba belajar!

Hahaha!

Selasa, September 02, 2008

Hasut perkauman: Dilema Ahmad atau BN?

Petang tadi, Timbalan Presiden Umno, Najib Abdul Razak memohon maaf bagi pihak Ahmad Ismail (Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera) yang dikecam kerana didakwa cuba menimbulkan hasutan berunsur perkauman.

Bagaimanapun, AJK Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Dr Thor Teong Gee mempersoalkan tindakan Najib itu (yang tidak senada dengan kenyataan Abdullah sebelum ni).
"The present leadership is 'inconsistent'. The Prime Minister (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) said Ahmad did not mean what he said. Now you have his deputy apologising for Ahmad.
Dr Thor menuntut tindakan perlu diambil ke atas Ahmad. Sekiranya Umno tidak bertindak, beliau menggesa BN perlu bertanggungjawab.

Mula-mula, saya sangat berharap agar segala konflik yang timbul dapat diselesaikan dengan berhemah, tanpa ada timbul kebencian.

(i)

Pada 25 Ogos lalu, Ahmad dalam ceramah kempen Pilihan Raya Kecil P44 di Kampung Belah Dua, Permatang Pauh, menyebut bahawa kaum Cina merupakan 'pendatang' - maka mereka tidak mendapat hak sama rata sepenuhnya sebanding yang lain.

Kenyataan ini kemudiannya dilaporkan oleh akhbar Sin Chew Jit Poh, mendakwa ucapan Ahmad telah menyentuh sensitiviti kaum Cina.

Pada 26 Ogos, Pemuda MCA Puchong menyiarkan laporan berkenaan di laman blognya.

Kemudian, kronologi kes Ahmad ini disusuli dengan kenyataan-kenyatan dari pemimpin-pemimpin parti MCA, Gerakan dan DAP yang kesemuanya mengecam ucapan Ahmad - yang didakwa bersifat perkauman. Sebahagian laporan berkaitan boleh diikuti di sini.

Tidak terkecuali, tindakan Ahmad ini turut dilaporkan pada pihak polis di beberapa buah negeri. Antaranya, mahu Ahmad disabit di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 4(1) yang boleh membawa pesalah dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya (bagi kesalahan kali pertama).

Perbuatan Ahmad mungkin ditafsirkan menghasut di bawah Seksyen 3(1)(e) - kecenderungan menghasut bagi mengembangkan perasaan jahat dan permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk Malaysia.

(ii)

Ini bukan dilema yang dihadapi oleh Ketua Bahagian itu seorang, tetapi dilema BN. Krisis sokongan di kalangan bukan Melayu.

1. Analisis PRU Mac lalu memperlihatkan bahawa BN mengalami kemerosotan undi di kalangan bukan Melayu. Dalam proses BN cuba memulihkan krisis populariti ini, Ahmad telah mengeluarkan kenyataan yang mengguris perasaan orang Cina (secara tidak langsung kaum lain) di khayalak awam. Kemudian, halnya diperbesarkan oleh media dan politikus Cina.

2. Kalau dilihat secara kasar, kita akan dapati tindakan MCA dan Gerakan ini mengeruhkan lagi krisis yang dihadapi BN. Pengundi Cina akan semakin menolak BN (apatah lagi Umno) sebab insiden ini.

3. Dari sudut lain (secara kasarnya), mungkin juga MCA dan Gerakan sedang berusaha menarik kembali sokongan pengundi Cina, atas sebab usaha mereka mengecam tindakan Ahmad (antaranya gesaan Quah Eng Lam dan Tan Khai Beng menggesa Ahmad dipecat dari Umno!). Ini mungkin dilihat sebagai pembelaan kepada kaum Cina.

4. Namun begitu, persoalan yang timbul ialah - bukankah insiden sebegini lebih menyebabkan Pakatan Rakyat, khususnya DAP akan lebih beruntung? Kaum Cina akan hilang percaya pada BN atas 'penafian Ahmad' terhadap hak mereka sebagai warganegara.

5. Dalam hal ini, Pakatan Rakyat (khususnya DAP dan PKR) dilihat lebih 'menyenangkan hati' kaum Cina. Anwar Ibrahim telah banyak berkempen untuk membela hak bukan Melayu dan beliau lebih popular berbanding BN dalam hal ini (moto Ketuanan Rakyat). Lihat juga bagaimana Menteri Besar Perak, berbuat sesuatu yang tidak pernah dibuat selama ini - memberi tanah seluas 400 hektar untuk kepentingan pendidikan Cina (jangan lupa betapa kaum Cina sangat mengutamakan pendidikan!).

(iii)

Ada di kalangan teman yang berpendapat, Gerakan sengaja mencari isu sebagai alasan untuk keluar BN (?). Hujahnya rapuh, tetapi kita tidak boleh menolak kebarangkaliannya. Kalaulah Gerakan bersedia untuk menjaga kepentingan BN, kaedah untuk menyelesaikan kemelut ini sepatutnya berlangsung dengan tenang, tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati dan kebencian ramai.

Dan desas-desus yang mengatakan Gerakan sanggup meninggalkan BN sekiranya kemelut ini tidak memenuhi tuntutan mereka - saya fikir, jika benar, ia mungkin berkait dengan usaha sebahagian oportunis dalam parti itu.

Pemangku Presiden Gerakan, Dr Koh Tsu Koon dilihat lebih tenang berhadapan dengan hal ini. Cadangnya, BN perlu bersepakat pada satu set kod etika dalam menyatakan sesuatu - mana yang boleh, mana yang tidak boleh.

(iv)

Kalaulah Ahmad mengucap hal yang sama pada sebelum Perlembagaan Persekutuan 1957 digubal, dan sebelum Memorandum Perikatan (yang mengandungi Pakatan Murni - quid pro quo antara Melayu, Cina dan India berhubung pemberian hak kewarganegaraan dan pengiktirafan agama Islam, bahasa Melayu, kedaulatan Raja dan hak istimewa) diserah pada Suruhanjaya Reid - mungkin situasinya berbeza.

Hari ini, pusing-pusing pun sama juga. Melayu dan anak negeri Sabah/Sarawak akan terguris kalau hak istimewa dipertikai oleh orang bukan Melayu. Orang Cina dan India akan terguris jika hak sebagai warganegara dipertikai.

Hal yang merosakkan - yang sepatutnya tidak menjadi besar dan kalut - ialah apabila ada yang cuba menggunakannya sebagai alat politik. Maksudnya, untuk meraih sokongan atau menjatuhkan lawan.

(v)

Semalam, Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Ng Wei Aik bersama tiga orang kuat Dapsy (Pemuda DAP) telah membuat laporan polis serta menuntut pihak berkuasa terbabit menggunakan Akta Hasutan 1948 ke atas Ahmad.

Nah, masih ingat DAP membuat laporan polis berhubung kenyataan perkauman yang diucap oleh perwakilan Umno dalam AGM 2006? Ia pun membabitkan Akta Hasutan 1948.

Ini bermakna, desakan agar akta ini dimansuhkan, sudah tidak relevan buat DAP.

*Foto dipetik dari laman Utusan Online.

Ahad, Ogos 31, 2008

Selamat berpuasa

Selamat berpuasa dan selamat ulangtahun ke-51 kemerdekaan.